Kenyataan Rasmi Penggerak Malaysia Berkaitan Perlantikan Perdana Menteri Ke 8 Oleh DYMM YDPA

Assalamualaikum dan Salam Bahagia kepada semua.

1. Penggerak Malaysia dan semua Pembela Hak Asasi Manusia Penggerak Malaysia mengucapkan tahniah di atas perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 8 oleh DYMM YDPA.

2. Kami memohon agar Saf Kabinet Kerajaan DYMM YDPA yang akan dibentuk dan dipimpin oleh YAB Perdana Menteri ke 8 ini akan terdiri daripada Menteri-Menteri yang bersih dari segala pertuduhan salah laku dan mampu berkhidmat untuk Rakyat, Raja dan Tuhan Yang Maha Esa dengan berlandaskan Prinsip Rukunegara dan Budaya Bangsa Malaysia yang tercinta.

3. Kepada semua pihak, kami menasihati agar buktikanlah penghayatan diri anda terhadap Prinsip Rukunegara yang Kedua iaitu Taat Kepada Raja Dan Negara. Berhati-hatilah agar tidak menjadi pengkhianat dengan mengengkari Titah DYMM YDPA ini.

4. Berhentilah dari meneruskan segala politiking dan usaha untuk mendesak DYMM YDPA mengubah keputusan Baginda setelah semua proses yang wajar menurut Perlembagaan Negara telah Baginda lakukan. Segala pertikaian, perdebatan, unjuk rasa dan ketidakpuasan hati yang dikeluarkan adalah tanda ketidaktaatan dan keengkaran kepada Institusi DiRaja.

5. Marilah kita taati Titah DiRaja ini samada kita suka mahupun tidak. Berhentilah Beraja di Mata, Bersultan di Hati dan buangkanlah segala sifat kepura-puraan dan kepentingan diri, parti dan kumpulan anda.

6. DYMM YDPA telah bertitah, sebagai Rakyat Raja di Negara Berdaulat ini, junjunglah Titah ini dan hentikanlah segala pertikaian atau pertarungan merebut jawatan yang menyusahkan rakyat dan negara.

7. Kembalilah kita kepada Kesopanan Dan Kesusilaan yang menjadi Prinsip Ke Lima Rukunegara yang membezakan kita dengan masyarakat di negara lain. Teruskanlah khidmat bakti kepada rakyat dan negara agar keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara ini dapat dikekalkan.

8. Menjunjung kasih Tuanku dan tahniah Tan Seri. Semoga Allah swt terus memberkati dan membimbing DYMM Raja-Raja Melayu dan Pembesar Negara dengan taufik hidayahNYA sepanjang masa.

Sekian, Wassalam.
MOHD NAZRI SAHAT
Presiden
Penggerak Malaysia
Whatsapp : 0193625658
Tarikh : 29/2/20

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *